“Yang kurik itu kendi, yang merah itu saga. Yang elok itu budi,yang indah itu bahasa”, demikianlah ungkapan yang menggambarkan kepentingan berbudi bahasa dalam kehidupan masyarakat kita. Ungkapan ini disusuli pula dengan bidalan yang mengatakan bahawa budi bahasa tidak boleh dijual beli. Namun, semuanya ini hanya suatu retorik sehingga kerajaan terpaksa melancarkan Kempen Berbudi Bahasa untuk menghidupkan kembali budaya berbudi bahasa ini. Oleh yang demikian, sebagai rakyat yang cinta akan budi bahasa , marilah sama-sama kita berganding bahu , bersatu padu ,dan bersama-sama berusaha melahirkan masyarakat yang berbudi bahasa baik untuk generasi kini mahupun masa hadapan, selaras dengan pembangunan negara yang semakin menaikkan nama Malaysia di persada antarabangsa.
Langkah yang sudah terang lagi bersuluh pada era moden ini ialah ,kempen budi bahasa. Kempen Berbudi Bahasa yang dilancarkan oleh Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KeKKWa) baru-baru ini jelas menunjukkan betapa kroniknya budi bahasa masyarakat kita pada hari ini. Kempen ini merupakan agenda penting kerajaan untuk menyemarakkan dan menyemai semula budi bahasa dan nilai-nilai murni kedalam jiwa setiap rakyat Malaysia. Kempen ini diharap dapat memperkukuhkan kembali kekuatan peribadi dan jati diri setiap individu. Negara akan menjadi agung jika warganya terdiri dari insan-insan yang mengamalkan budaya murni. Tidak ada gunanya jika masyarakat Malaysia kaya dari segi kebendaan tapi muflis dari segi keperibadian.
Ibu bapa juga bertanggungjawab dalam mendidik dan membentuk sahsiah anak-anak supaya membesar dengan akhlak yang terpuji. Ibu bapa juga perlu menunjukkan tingkah laku yang baik supaya menjadi ikutan anak-anak khususnya dan masyarakat amnya. Dalam hal ini tidak ada kaedah tertentu dalam mendidik anak-anak kerana pendidikan keibubapaan adalah bersifat tidak formal. Oleh hal yang demikian, kita sebagai ibu bapa perlulah melaksanakan tuntutan keibubapaan dengan sebaik mungkin.
Amalan seterusnya yang perlu dilakukan untuk melahirkan masyarakat yang berbudi bahasa ialah masyarakat seharusnya melatih diri mereka supaya sentiasa menuturkan perkataan-perkataan yang membawa maksud yang baik dan sopan pada pendengaran khalayak dalam pertuturan seharian. Justeru pengucapan yang kurang sopan dan menggunakan kata-kata yang kasar tidak harus digunakan. Generasi kini perlu dididik dengan nilai-nilai murni dan tatasusila bagi memelihara adat dan budaya masyarakat timur yang kaya dengan budi bahasa.
Selain itu, sekolah sebagai institusi pendidikan formal berperanan dalam menerapkan dan mempraktikkan nilai-nilai murni dan amalan berbudi bahasa dalam kalangan anak-anak. Pihak sekolah memainkan peranan penting dalam menerapkan amalan nilai-nilai murni dalam pemikiran pelajar agar sifat berbudi bahasa dapat dipraktikkan sejajar dengan pembesaran mereka ketika menginjak dari usia remaja ke usia dewasa.
Kemasukan elemen nilai-nilai murni dalam kehidupan harian merupakan salah satu kaedah yang dapat melahirkan masyarakat yang berbudi bahasa.Contohnya, bagi kakitangan kerajaan dan swasta yang bertugas di bahagian kaunter, layanan mesra terhadap pelanggan atau orang ramai yang berurusan di kaunter mestilah diberi keutamaan. Layanan yang sedemikian bukan sahaja akan memberi kepuasan maksimun kepada orang ramai bahkan dapat meningkatkan imej kerajaan atau agensi tertentu yang selama ini telah tercalar. Pada masa yang sama, amalan bertegur sapa yang dicanangkan melalui Kempen Berbudi Bahasa dapat memenuhi aspirasi kerajaan untuk melahirkan masyarakat Malaysia yang berbudi bahasa.
Secara tuntas, amalan berbudi bahasa bukan bersifat sementara atau hangat-hangat tahi ayam. Sebaliknya, amalan ini harus menjadi paksi kehidupan kita yang mesti diteruskan kerana amalan ini merupakan nilai-nilai murni yang telah kita warisi sejak turun-temurun. Bak kata pepatah, hidup dikandung adat mati dikandung tanah.
asal aku dok tulis karangan kat sini ? aku nak anta kat cikgu , kononnya nak masuk pertandingan laa tu.xpe,tggu je menang or tak .

0 komen:
Post a Comment